Penyakit Kardiovaskular

Posted by Maziah On Thursday, November 18, 2010 0 comments
Penyakit Kardiovaskular-Pembunuh Nombor Satu Di Kalangan Pesakit Diabetes
Oleh Datin Dr Liew Yin Mei
Pakar Perunding Perubatan dan Timbalan Pengarah Perubatan Yayasan Jantung Malaysia

Kebanyakan orang sedar bahawa tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol darah tinggi merupakan faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular(CVD). Tetapi, tahukah anda bahawa diabetes merupakan salah satu sebab yang membawa kepada serangan jantung dan juga strok? CVD telah menyebabkan kematian lebih daripada 70% penghidap diabetes yang tidak mengawal penyakit mereka dengan baik.

Sebenarnya, sekiranya anda menghidap diabetes dan tidak mengambil penjagaan yang betul mengenai penyakit anda, kemungkinan anda akan menghidap penyakit jantung bertambah kepada 2 hingga 4 kali ganda berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes. Menurut kajian besar-besaran di Finland, mereka yang menghidap diabetes tetapi tanpa sebarang sejarah serangan jantung didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat serangan jantung berbanding mereka yang tidak menghidap diabetes dan pernah mendapat serangan jantung.

Ini adalah kerana penghidap diabetes adalah lebih cenderung mempunyai rintangan terhadap insulin (terutama jika mereka mempunyai perut yang besar). Rintangan insulin terjadi apabila badan kita tidak boleh menggunakan insulin (suatu hormon yang dikeluarkan oleh pankreas yang bertanggungjawab dalam pengambilan glukosa oleh sel-sel) dengan efektif. Disamping tahap glukosa darah tinggi (diabetes), keadaan metabolik yang abnormal ini juga sering dikaitkan dengan tahap lipid darah yang tidak normal (dyslipidaemia) seperti kenaikan tahap trigliserida (satu komponen utama lemak badan yang akan bertukar menjadi LDL atau kolesterol 'jahat') dan penurunan tahap lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL atau kolesterol 'baik').

Bukan itu sahaja, mereka yang mengalami rintangan insulin juga akan berkecenderungan untuk mendapat tekanan darah tinggi (hipertensi) yang akan merosakkan saluran-saluran darah, yang juga merupakan satu faktor risiko CVD yang diketahui umum.

Keadaan-keadaan yang dikaitkan dengan rintangan insulin adalah seperti tahap lipid darah yang tidak normal, tekanan darah tinggi, ditambahkan pula dengan merokok dan obesiti akan menggandakan lagi risiko untuk mendapat atherosklerosis (pengerasan saluran darah) terutama sekali jika diabetes anda tidak dikawal dengan baik. Atherosklerosis ialah satu proses di mana pemendapan bahan-bahan berlemak, kolesterol dan bahan-bahan lain menimbun di dalam dinding arteri, menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan menghadkan bekalan darah. Atherosklerosis selalunya akan menjejaskan arteri-arteri pada jantung, otak, buah pinggang dan kaki anda. Penyumbatan saluran darah yang membekalkan darah ke jantung boleh menyebabkan anda mengalami serangan jantung, dan sekiranya saluran darah yang membekalkan darah ke otak tersumbat, anda akan mendapat strok.

Oleh sebab itu, serangan jantung dan strok merupakan dua akibat-akibat yang biasa di kalangan penghidap diabetes yang tidak mengawal penyakit mereka.

Berita baiknya ialah kecenderungan untuk mendapat penyakit-penyakit kardiovaskular boleh dicegah atu dikurangkan dengan penjagaan diabetes yang baik dan faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular yang berkaitan. Di sini terdapat beberapa langkah penting yang boleh anda gunakan untuk mengurangkan peluang anda mendapat penyakit-penyakit kardiovaskular:

# Menjaga glukosa darah anda
Adalah penting untuk anda sentiasa memastikan tahap glukosa darah anda berada pada tahap yang disyorkan (3.8 mmol/L - 6.1 mmol/L ketika berpuasa dan di bawah 7.8 mmol/L selepas makan) setiap masa. Anda juga harus memastikan nilai HbA1c kurang daripada 6.5% (HbA1c ialah suatu ukuran bagi menilai keberkesanan kawalan glukosa darah anda dalam jangka masa 2 - 3 bulan yang lepas)

Glukosa boleh bergabung dengan protein badan untuk membentuk produk-produk berglukosa (glycated products). Jika diabetes anda tidak di kawal dengan baik dan tahap glukosa darah anda adalah tinggi, maka lebih banyak produk berglukosa akan terbentuk dalam sistem badan anda, di mana ia boleh merosakkan jantung dan organ-organ badan yang lain. Inilah sebabnya anda harus menjaga tahap glukosa darah dengan seketatnya untuk mengelakkan kerosakan pada jantung.

Oleh itu, anda harus teruskan makan secara sederhana dan mengawal pengambilan karbohidrat serta gula. Anda perlu juga selalu melakukan aktiviti fizikal (jadi lebih aktif) dan mengurangkan berat badan yang berlebihan serta mengekalkan berat badan dalam linkungan berat badan yang sihat. Tolong jangan lupa mengambil ubat-ubatan anda (jika dipreskripsikan) dan sentiasa memantau tahap glukosa darah anda ketika di rumah.

# Menjaga tahap lipid darah anda
Mengekalkan tahap lipid yang sihat serta seimbang adalah amat penting untuk mencegah penyakit kardiovaskular. Anda harus cuba mengekalkan tahap trigliserida yang rendah (kurang daripada 1.7 mmol/L), tahap kolesterol LDL yang rendah (kurang daripada 2.6mmol/L) dan kandungan kolesterol HDL yang tinggi (lebih dari 1.02 mmol/L). Anda boleh mengekalkan tahap lipid yang sihat serta seimbang dengan mengamalkan yang berikut:
#

Mengelakkan dari memakan makanan berkolesterol tinggi yang boleh menaikkan kandungan LDL, seperti udang, ketam, tiram, sotong, kuning telur dan organ dalaman (hati, buah pinggang, usus).
#

Menghadkan pengambilan lemak secara keseluruhan. Mengurangkan lemak dari segala sumber termasuk minyak masak dan lemak-lemak yang terselindung dalam pastri dan biskut.
#

Menghadkan pengambilan lemak tepu yang sering terdapat dalam binatang-binatang, makanan dari sumber binatang (seperti susu penuh krim, mentega, keju, lemak daging) dan juga santan.
#

Memakan makanan yang mempunyai tinggi serat larut untuk membantu mengurangkan penyerapan kolesterol. Serat larut terdapat dalam bijirin, barli dan legum.
#

Mengambil ubatan yang diberikan oleh doktor untuk menurunkan tahap lipid.

Kerap melakukan senaman dan menjadi lebih aktif.

# Menjaga tekanan darah anda
Menurut kajian, jika anda menghidap diabetes, matlamat paras tekanan darah anda harus lebih rendah daripada 130/80 mmHg tidak kira umur. Tekanan darah yang tinggi akan menambah tekanan kepada otot jantung dan mengenakan banyak daya kepada dinding-dinding saluran darah. Akhirnya, otot jantung anda akan menjadi lemah dan saluran darah juga akan mengalami kerosakan jika tiada sebarang tindakan yang wajar diambil. Anda boleh membantu untuk mencapai matlamat anda dengan:
#

Mengurangkan natrium dalam pemakanan anda. Natrium yang berlebihan dalam pemakanan akan menaikkan tekanan darah anda. Sumber-sumber natrium adalah garam halus, kicap, mononatrium glutamat(MSG), makanan-makanan yang diproses seperti sosej dan daging burger, makanan-makanan yang diawet seperti jeruk dan telur masin, dan makanan-makanan bertin.
#

Mengurangkan berat badan,jika anda berlebihan berat badan.
#

Mengambil ubat untuk tekanan darah tinggi yang diberikan oleh doktor anda.
#

Kerap melakukan senaman dan menjadi lebih aktif.

# Menjaga faktor-faktor risiko CVD yang lain
#

Tolong berhenti merokok - Merokok akan merosakkan dinding-dinding saluran darah, dan ini akan membawa kepada aterosklerosis dan penyakit kardiovaskular. Oleh itu, jika anda adalah perokok, berusahalah untuk memberhentikan tabiat ini secepatnya dan untuk selamanya.
#

Hadkan pengambilan minuman beralkohol - Alkohol akan meninggikan tekanan darah dan degupan jantung. Adalah disyorkan supaya lelaki tidak minum lebih daripada 2 minuman biasa sehari, manakala wanita pula jangan mengambil lebih daripada satu minuman biasa sehari.

Walaupun anda sedang mengamalkan gaya hidup yang sihat, jangan menganggap bahawa anda tidak perlu berjumpa doktor anda atau berhenti mengambil ubatan anda. Sebenranya, anda masih perlu sentiasa membuat pemeriksaan untuk memastikan tahap glukosa darah, lipid dan tekanan darah anda masih dalam kawalan baik dan berada didalam julat yang disyorkan. Doktor anda juga akan menjalankan beberapa ujian yang mungkin diperlukan seperti elektrokardiogram dan ujian tekanan (stress test) untuk memastikan jantung anda berada dalam keadaan sihat kerana penyakit jantung bagi penghidap diabetes kadangkalanya tidak akan menunjukkan sebarang gejala sehingga tiba-tiba mendapat serangan jantung, strok atau kematian yang mengejut. Anda juga harus berwaspada akan gejala-gejala penyakit jantung yang boleh dikesan seperti sakit dada, rasa kebas atau kesakitan di leher, bahagian atas rahang atau bahagian bawah lengan ketika bersenam atau selepas makan.

Mempunyai jantung yang sihat membolehkan anda menjalani kehidupan yang normal. Ada kalanya anda tidak akan mendapat peluang kedua untuk hidup.Oleh itu, jagalah jantung anda dengan menjaga diabetes anda dengan baik bermula pada hari ini. Ingatlah bahawa walaupun anda menghidap diabetes, anda mempunyai kuasa kekal sihat dan cergas seperti orang lain juga.

Kekal Hidup Selepas Serangan Jantung
Jika anda baru sahaja mendapat serangan jantung, anda harus sedar betapa beruntungnya anda kerana masih kekal hidup pada hari ini! Namun begitu, anda tidak boleh terus merasa lega. Jika anda masih tidak menjaga diabetes sdan faktor-faktor risiko lain seperti yang anda sepatutnya, anda berkemungkinan besar akan mengalami serangan jantung yang kedua. Tolong jangan mengambil mudah tentang perihal jantung anda. Oleh itu, pastikan anda terus kekal aktif, makan secara sihat, sentiasa memantau tahap glukosa darah, lipid darah dan tekanan darah. Teruskanlan mengekalkan berat badan sihat dan tidak merokok. Ikutilah nasihat doktor anda.

0 comments to Penyakit Kardiovaskular

Post a Comment

Powered by Blogger.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...